13 Tip Menghadapi Sakit Kontraksi

0
6
views

Sakit! Siapa kata tak sakit. Yang membezakan antara si A dengan si B ialah daya ketahanan terhadap rasa sakit itu. Kami tidak menjamin tip-tip yang ingin kami berikan ini boleh mengurangkan kesakitan 100% tetapi sekadar mengurangkan kesakitan dan meningkatkan daya tahan anda.

1. Bersenam

Pertama sekali ialah bersenam. Menurut kajian Tekoa King, profesor dari University of California, San Fransisco, wanita mengandung yang rajin bersenam mengalami tempoh kelahiran yang lebih pendek. Ada pelbagai jenis senaman yang sesuai untuk wanita mengandung. Tetapi pastikan anda mendapat kebenaran doktor terlebih dahulu.

BACA:Amalan sihat : Senaman Ibu Mengandung

2. Hadiri Kelas Prenatal

Penting bagi ibu-ibu yang hamil pertama kali. Ilmu-ilmu yang bakal di ajar di kelas ini penting untuk mempersiapkan si ibu dengan apa yang bakal dihadapi kelak termasuk cara untuk tidur apabila sudah masuk fasa sarat, amalan pemakanan dan cara bersenam yang sesuai. Di samping itu, anda perlu memahami fasa-fasa pelahiran untuk menghindarkan dari rasa cemas apabila tiba masanya nanti.

3. Amalkan amalan spiritual

Bagi orang Islam amalkan surah-surah amalan seperti Surah Mariam untuk melancarkan proses bersalin. Dengan meningkatkan amalan spiritual, tekanan boleh dikurang dan anda akan lebih positif melalui fasa-fasa kelahiran kelak.

4. Urutan perineum

Ada yang mengatakan urutan pada perineum boleh mengurangkan koyakan pada faraj. Ikuti laman sesawang ini untuk lebih maklumat. Dapatkan nasihat doktor sebelum melakukannya.

5. Adakah anda memerlukan seseorang di sisi anda?

Tidak semua hospital membenarkan suami memasuki bilik bersalin. Oleh itu, jika anda merasakan anda memerlukan sokongan motivasi suami anda ketika anda bersalin, carilah hospital yang bersesuaian. Kajian oleh American Journal of Obstetrics and Gynecology menyatakan wanita yang mempunyai sokongan ketika bersalin, kurang memerlukan ubat-ubatan untuk mengurangakan kesakitan.

6. Buat tidak tahu dahulu

Bagi wanita yang baru pertama kali hamil, tempoh kontraksi adalah di antara 12 hingga 14 jam. Tanda-tanda awal hendak bersalin ialah sakit pada tulang belakang atau sakit seolah-olah senggugut. Jangan cemas terlebih dahulu. Tarik nafas, bertenang dan simpan tenaga anda. Mandi terlebih dahulu dan buatlah sesuatu yang menenangkan dan boleh mengalih perhatian anda daripada sakit tersebut. Jangan lupa pula mengira jarak di antara kontraksi. Dapatkan pandangan doktor tentang bila masa yang sesuai untuk anda ke hospital. Sebab itulah perlunya anda ke kelas prenatal untuk anda bertanyakan soalan-soalan sedemikian.

7. Makan terlebih dahulu

Selalunya pihak hospital tidak akan membenarkan anda makan setelah anda dimasukkan berada di hospital. Ini untuk mempersiapkan diri anda jika ditakdirkan memerlukan pembedahan. Ingat! Anda perlu melalui proses meneran dimana ia memerlukan tenaga yang banyak. Maka untuk mempersiapkan anda untuk proses itu, anda perlu mengisi perut anda terlebih dahulu. Cukuplah sekadar mengalas perut.

8. Mandi

Mandi boleh mengurangkan rasa ketidak selesaan selain mengurangkan stress. Jadi mandilah!

9. Pernafasan

Fokus pada pernafasan anda. Tarik nafas melalui hidung dan hembus melalui mulut dengan melembutkan mulut dan pipi anda. Lakukannya berkali-kali ketika kontraksi semakin lama dan sakit sehingga ia berakhir.

10. Bertukar-tukar posisi

Semasa kontraksi semakin kerap, sebaiknya elakkan daripada berbaring sahaja di atas katil. Cuba berjalan, bersandar pada dinding atau pada suami anda. Graviti boleh membantu mempercepatkan lagi proses kelahiran, maka banyakkan berjalan.

11. Urut

Terdapat kajian yang mengatakan urutan daripada pasangan anda boleh meredakan kesakitan. Anda mungkin mahukan urutan pada bahagian leher dan bahu untuk mengurangkan tekanan dan merangsang pengeluaran hormon endorfin.

12. Jangan stress dan memaksa diri anda

Berfikiran terbuka, jangan terlalu memaksa diri untuk tidak mengambil apa-apa bantuan yang mengurangkan kesakitan. Tidak dapat menahan kesakitan tidak bermakna anda gagal sebagai ibu atau lemah. Ingat! Anda sedang berjuang untuk melahirkan seorang manusia ke dunia ini. Itu sahaja adalah suatu yang membanggakan. Ramai wanita yang tidak merasakan nikmat ini. Jangan jadikan ini satu perkara yang membebani diri anda di saat kelahiran. Oleh itu, jangan pedulikan apa orang kata dan lepaskan diri anda dari tekanan remeh seperti itu.

13. Jururawat yang membantu

Doktor peribadi anda tidak akan berada dengan anda sepanjang masa. Jururawat yang akan membantu anda dan memberitahu anda apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dan juga menyokong anda. Jalinkan hubungan yang baik dengan jururawat anda. Jika anda gagal, jika boleh, mintalah untuk menukar jururawat yang lain. Mungkin dia juga akan akan berasa lega.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here