9 Tip Bekerja Dari Rumah Dan Pengurusan Rumahtangga

0
36
views

MAKES

Bekerja di rumah bunyinya sangat ideal kerana anda berpeluang menyumbang dalam kewangan keluarga dan dalam masa yang sama anda boleh melihat anak anda membesar di depan mata. Secara asasnya, bekerja di rumah membolehkan anda bekerja pada bila-bila mengikut keselesaan anda. Tidak perlu bersiap-siap dan tidak perlu lagi tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Tetapi realitinya, bekerja dari rumah memerlukan disiplin diri yang tinggi. Kita perlu bijak menyesuaikan diri dan jika kita tidak fokus dan proaktif, akibatnya kita akan menjadi stress dan ini akan mempengaruhi rumahtangga.

Sejujurnya, saya sendiri gagal dalam bab mendisiplinkan diri. Waktu mula-mula bergelar surirumah, memang mudah untuk tersasar dan hilang fokus kerana tidur yang tidak mencukupi. Stress juga bila tidak dapat menyeimbangkan antara kerja dan tugas-tugas sebagai ibu. Untung suami memahami dan dia juga tidak ketinggalan membantu menguruskan rumah.

Dari seorang yang pernah melaluinya, di sini saya ingin berkongsi tip-tip yang saya praktikkan bagi memudahkan kehidupan saya sebagai seorang ibu, isteri dan penyumbang nafkah keluarga. Semoga artikel ini bermanfaat kepada anda. Terlebih dahulu ingin saya nyatakan di sini, ini mungkin lebih sesuai untuk mereka yang mengambil tugasan freelance. Tetapi ada yang sesuai untuk semua ibu-ibu yang masih bergelut dengan masa.

1. Pilih waktu bekerja
Pilih waktu yang paling sesuai untuk anda membuat tugasan kerja. Selepas subuh atau sebelah malam, itu pilihan anda. Asalkan pada masa itu anda boleh bekerja dengan fokus dengan idea yang mencurah-curah.

2. Atur hari anda dengan jadual

Selepas anda menetapkan waktu bekerja, barulah anda boleh aturkan tugasan mengikut jarak masa tertentu. Sebagai contoh dari pukul 6 pagi sehingga pukul 8 pagi, selepas solat Subuh saya akan menyiapkan tugasan website atau tugasan freelance. Ketika ini anak saya masih lagi tidur dan bagi saya inilah waktu paling ideal untuk saya bekerja kerana idea akan datang mencurah-curah. Setelah anak saya bangun, iaitu dari pukul 8 pagi sehingga pukul 12 tengahari pula dalam lingkungan ini saya menyiapkan sarapan, membasuh baju dan menyidai, memberi peluang anak bermain di luar, memandikan anak dan sebagainya. Jika anda mempunyai bos atau klien, tetapkan masa-masa yang membolehkan mereka menghubungi anda. Ada juga masa-masa di mana anak saya bangun lebih awal atau lebih lewat dari biasa. Namun anda tidak perlu risau asalkan dalam jarak masa yang ditetapkan anda masih boleh melakukan tugasan anda.

cleaning_schedule_small
http://www.lambertslately.com/2015/06/how-i-make-my-home-look-professionally.html

3. Jadual membersihkan rumah
Jadual ini bertujuan supaya saya boleh memastikan kebersihan keseluruhan rumah tanpa terasa terbeban. Mula-mula pastikan apa yang anda perlu bersihkan setiap hari dan apa yang perlu dibersihkan seminggu sekali. Kemudian buatlah dalam bentuk jadual dan agih-agihkan tugasan dalam jadual waktu dalam tip #1 tadi. Bagi saya jadual ini membantu saya memastikan rumah berada dalam keadaan yang baik walaupun tidaklah dalam keadaan yang begitu sempurna dan tidak lupa apa yang perlu saya lakukan setiap hari. Berikut adalah contoh jadual pembersihan rumah:

4. Templat menu mingguan
Ini yang paling saya suka. Saya menyediakan templat menu untuk seminggu. Templat menu membantu saya menyenaraikan barang masak yang perlu dibeli setiap hujung minggu tanpa perlu berfikir panjang. Sebagai contoh, hari Isnin adalah hari ayam di mana saya akan memasak nasi berlaukkan ayam setiap hari Isnin. Hari Selasa pula bertemakan spagetti dan pasta. Hari Rabu roti canai manakala hari Khamis pula ikan dan seterusnya. Berbanding dengan membuat jadual menu untuk setiap minggu, templat seperti ini membantu saya dengan lebih cepat untuk mengetahui apa yang harus dibeli tanpa membazir masa berfikir.

5. Menyimpan duit satu warna
Teknik menyimpan duit satu warna ini membantu saya untuk tujuan bercuti, membayar cukai jalan kereta dan bermacam lagi mengikut nilai yang kita simpan. Sebagai contoh, saya akan menyimpan duit RM5 setiap kali saya menerimanya di kedai. Ya, jikalau pekedai hanya menyerahkan nilai RM1 walaupun ada 5 keping saya tidak akan menyimpannya.

6. Minta pertolongan
Walaupun anda bekerja dari rumah, ini tidak bermakna anda mampu melakukan segalanya. Jika anda rasa terbeban, stress atau penat. Mungkin anda boleh menghantar pakaian ke dobi untuk dibasuh dan digosok atau mintak pertolongan suami (atau sesiapa yang anda percaya) untuk menjaga anak-anak anda sebentar sementara anda menghabiskan urusan kerja anda.

7. Gunakan masa bermain
Jika anda menggunakan masa tidur anak anda untuk melakukan sesuatu, anda juga boleh menyiapkan sesuatu tugasan ketika anak-anak anda sedang bermain. Mungkin 10-20 minit membolehkan anda menyiapkan sesuatu kerja rumah atau tugasan kerjaya walaupun sedikit.

8. Jangan lupa diri anda
Kadang kala kita terlalu bergantung kepada orang lain untuk memberi ganjaran kepada apa yang telah kita lakukan. Sebagai percubaan, apa kata anda sendiri menghadiahkan sesuatu untuk diri anda sendiri. Mungkin satu hari cuti dan anda hanya perlu melayan anak-anak sahaja dimana anda hanya membeli sahaja makanan tanpa perlu memasak. Atau mungkin anda boleh membawa anak-anak anda berjalan atau bermain di taman permainan.

9. Ibadah
Walaupun ini sudah diketahui, tetapi suka saya senaraikan juga di sini. Berzikir sebelum tidur dan membaca Al-Quran membantu anda berasa ‘penuh’ dan tidak berasa kosong dan bersendirian. Sembahyang pada awal waktu juga menyebabkan anda lebih aktif membuat kerja dan melayan kerenah anak-anak.

Anda mempunyai tip-tip yang sesuai? Kongsikan bersama kami 😀

Previous article50 Nama-nama Bayi Lelaki dan Perempuan Paling Popular 2015
Next article22 Nasihat Seorang Ayah Kepada Anak-anaknya
Seorang ibu dan surirumah. Dahulunya seorang web developer yang suam-suam kuku. Berhajat untuk berkongsi tip-tip yang dipelajari dan dalam masa yang sama berharap boleh belajar dari mereka yang melawat laman web ini. Diharapkan laman web ini boleh membantu para ibu (dan bapa) yang baru hendak bertatih. Semoga enjoy selalu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here