Kegembiraan Pertama Kali Membawa Bayi Dari Hospital Ke Rumah. Realiti dan tips.

0
162
views

Bagi pasangan yang akan menimang cahaya mata pertama, pasti membayangkan bilik bayi yang cantik dengan almari yang dipenuhi dengan kelengkapan bayi yang dihadiahkan oleh saudara mara dan rakan taulan yang mengingati anda. Anda pula si ibu akan menghabiskan masa dengan bayi anda, selesa menyusukan dan berbaringan di atas katil.

Realitinya… Oleh kerana terlalu gembira, saudara mara atau sahabat handai, anda hanya akan dihujani baju-baju comel yang dipilih khas untuk bayi anda. Anda masih lagi perlu untuk membeli pelbagai jenis barang keperluan si kecil. Pasti akan ada barang yang terlupa untuk dibeli atau anda tidak tahu sebenarnya ia berguna. Maka si ayah berkejaran mencari barang-barang yang diperlukan. Anda yang masih keletihan pula belum boleh merehatkan diri lagi kerana si kecil meraung kelaparan.

BACA: Senarai Semak Beg Bersalin

Jangan takut atau risau. Semua ini adalah pembelajaran yang amat bermakna buat anda dan suami. Di masa hadapan, bila anda teringat kembali, ia bakal membuatkan anda tersenyum dan lebih menghargai kehidupan.

Kami di Lovebaby ingin membantu anda menjalani pengalaman pertama kali ini dengan lebih lancar dengan menyenaraikan perkara-perkara yang bakal anda tempuhi nanti.

Sebelum balik ke rumah:

1. Rancang perjalanan pulang anda dari hospital ke rumah. Kerusi untuk bayi, siapa yang mengambil, jalan yang patut di ambil dan sebagainya.

2. Jika anda bersalin di hospital swasta, selalunya anda akan menerima sejumlah barangan keperluan untuk bayi anda. Jika anda terpaksa menggunakan susu formula sebagai tambahan, mungkin anda boleh meminta untuk membawa balik susu sebagai persediaan sebelum membeli susu formula di kedai. Begitu juga dengan lampin. Tetapi berhati-hati, kerana pihak hospital mungkin akan mengenakan bayaran. Bertanyalah dahulu.

3. Gunakan perkhidmatan konsultasi penyusuan di hospital sehingga anda benar-benar selesa untuk menyusu sendiri. Kadang kala kegagalan proses penyusuan juga mengakibatkan depresi pada ibu baru. Juga perlu diketahui jika perkhidmatan ini berbayar tetapi selalunya ini adalah percuma demi meenyokong penyusuan ibu.

Setelah sampai di rumah:

1. Penyusuan adalah setiap 2-3 jam sekali. Maka bersedialah untuk bersengkang mata. Cuba rehat apabila bayi sedang tidur (walaupun kadang-kala ini tidak akan terjadi). Rehat yang secukupnya sangat penting dalam tempoh ini untuk penghasilan susu dan untuk kestabilan mental dan emosi selepas berpantang. Ada di antara kita begitu teruja dengan kelahiran anak pertama sehingga lupa akan kesihatan diri. Letak dahulu ‘smartphone’ itu dan rehatlah secukupnya.

2. Pastikan keselesaan yang optimum untuk bayi seperti pakaian yang selesa, bilik tidak terlalu sejuk atau panas, berbedung dan tukarlah lampin bila perlu. Ini kerana antara sebab bayi menangis adalah kerana ketidakselesaan. Tilam bayi juga perlu dititik beratkan tilam yang nipis dan lembut mengurangkan risiko kelemasan.

3. Jika anda tidak yakin untuk menguruskannya sendiri, mintalah bantuan. Selalunya ibu anda atau ibu mertua akan menawarkan diri untuk membantu. Atau mungkin saudara-mara yang lain. Jangan malu untuk meminta dan menerima bantuan. Pasti mereka faham akan kesusahan anda. Jika anda tidak mempunyai keluarga yang boleh membantu, jangan risau. Pada masa ini, ada ramai yang menawarkan servis untuk menjaga ibu yang dalam pantang.

4. Luka-luka akibat proses kelahiran perlu di jaga rapi agar tiada jangkitan. Percayalah! Anda tidak mahu sebarang komplikasi sepanjang tempoh berpantang. Jangan mengangkat benda berat dan jangan melakukan aktiviti berat kerana ini boleh mengakibatkan luka terkoyak dan sebagainya.

Setakat ini sahaja artikel ini. Anda ada tip-tip lain yang berguna?

Advertisement

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here