Memahami Vaksinasi Di Malaysia

0
11
views

Teringat saya ketika anak sendiri dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru. 7 hari terpaksa bermalam di hospital.

Pada mulanya doktor mensyaki anak saya dijangkiti batuk kokol akibat dari simptom-simptom yang hampir serupa.

BACA : Kementerian Kesihatan Malaysia Memberi Respon Tentang Home Birth dan Anti-Vaksin

Untuk kepastian, ujian darah dibuat. Namun, alhamdulillah bukan. Cemas juga saya dibuatnya.

Tidak lama kemudian saya mendapat panggilan daripada Jabatan Kesihatan dan saya ‘disoal siasat’ untuk mengetahui dari mana anak saya mendapat penyakit tersebut jika positif batuk kokol. Ini kerana di Malaysia batuk kokol adalah salah satu daripada program vaksinasi yang diberikan percuma oleh kerajaan Malaysia.

Dalam beberapa bulan lepas (bulan November mungkin) beberapa orang jururawat daripada klinik kesihatan kerajaan yang berdekatan telah datang melawat rumah ke rumah dan bertanyakan jika ada mempunyai anak kecil atau orang tua yang uzur. Mereka memberitahu bahawa terdapat kes batuk kokol di kawasan saya. Mereka menasihatkan kami agar berhati-hati apabila membawa anak keluar dan bergaul dengan orang lain lebih-lebih lagi anak yang kecil yang belum lagi mendapatkan vaksin batuk kokol.

Melihat kesungguhan pihak kerajaan menangani penyakit ini membawa saya berfikir akan kepentingan suntikan vaksin.

Artikel ini bukanlah bertujuan provokasi atau memerli sesiapa yang memilih untuk tidak memvaksin anak-anak mereka. Cuma sekadar pengumpulan fakta dan penerangan maksud beberapa ‘term’ dari sumber-sumber yang saya rasakan sahih. Saya bukanlah doktor, cuma seorang ibu yang mahukan yang terbaik untuk anaknya.

Memahami Vaksin

Mari kita mulakan dengan maksud sebenar vaksin.

Apa itu vaksin?

WHO

Vaksin adalah persediaan biologi yang meningkatkan imuniti terhadap penyakit tertentu. Vaksin biasanya mengandungi agen yang menyerupai penyakit yang disebabkan oleh mikroorganisma. Ia dihasilkan daripada mikrob itu sendiri atau toksin atau salah satu protein di permukaan mikrob itu tadi. Ia telah dilemah atau telah dimatikan. Egen itu merangsang sistem imun badan untuk mengiktiraf agen tersebut sebagai asing lalu memusnahkannya dan seterunya mengingatinya supaya sistem imun badan kita boleh lebih mudah mengenali dan memusnahkan mana-mana mikroorganisma ini kelak.

Laman web Kementerian Kesihatan Malaysia

Dari tafsiran sains ia merupakan satu produk biologikal yang digunakan untuk merangsang sistem imun seorang individu terhadap sesuatu penyakit. Produk ini dihasilkan melalui pembiakan agen penyebab penyakit di makmal. Beberapa kajian akan dijalankan bagi mengenalpasti sifat-sifat agen tersebut terutamanya ciri yang menyebabkan sistem imun manusia lambat atau gagal melawan penyakit sehingga memberi kesan serius atau kematian.

Maka, kita boleh membuat kesimpulan di sini dengan adanya vaksin di dalam tubuh kita, sistem imunisasi badan akan melawan mikroorganisma pembawa penyakit dengan lebih cepat.

Senarai Penyakit Yang Boleh Dielakkan Dengan Vaksin

  1. Tibi (batuk kering)
  2. Difteria
  3. Pertusis (batuk kokol)
  4. Tetanus
  5. Haemophilus influenzae jenis (Hib)
  6. Hepatitis B
  7. Polio
  8. Campak
  9. Beguk
  10. Rubella
  11. Penyakit Pneumokokus yang memudaratkan
  12. Rotavirus
  13. Virus Human Papilloma

Kontroversy Vaksin

1. Kandungan
Daripada pemerhatian saya, ramai yang tidak mahu mengambil vaksin kerana ragu-ragu dengan kandungan vaksin tersebut.
Antara contoh bahan yang terkandung dalam vaksin yang menjadi keraguan kebanyakan ibu bapa adalah seperti:

Garam Aluminium
Menurut fda.gov bahan ini digunakan untuk menambahkan lagi keberkesanan respon imunisasi seseorang yang disuntik vaksin.
Bahan adjuvan ini telah dibuktikan selamat digunakan di dalam vaksin selama lebih 6 dekad.Vaksin yang mengandungi garam aluminium adalah DTaP, pneumococcal dan hepatitis B.

Antibiotik
Antibiotik digunakan untuk mencegah pertumbuhan bakteria dalam proses pengilangan vaksin. Sesetengah ibu bapa kuatir akan kehadiran antibiotik di dalam vaksin boleh menyebabkan alahan yang teruk kepada anak mereka. Tetapi, dalam proses pembuatan vaksin, terdapat satu proses penulenan dimana bahan antibiotik ini dibuang. Maka yang tinggal hanya dalam kuantiti yang sedikit.

Protein telur
Protein digunakan sebagai bahan penstabil dalam vaksin.

Formaldehyde
Secara semulajadinya, tubuh badan kita sendiri menghasilkan formaldehyde. Formaldehyde di dalam vaksin digunakan untuk menyahaktifkan virus dan toksin yang digunakan. Dalam proses pembuatan vaksin, bahan ini dicairkan ke jumlah yang amat kecil iaitu lebih kecil daripada jumlah formaldehyde yang dihasilkan di dalam badan kita sendiri.

Monosodium glutamate
Bahan penstabil yang membantu vaksin kekal efektif

Thimerosal
Thimerosal adalah bahan organik mengandungi merkuri yang digunakan sebagai bahan pengawet di dalam vaksin. Ia telah digunakan secara meluas di dalam vaksin. Tiada bukti kukuh yang menunjukkan kehadiran thimerosal mendatang kesan buruk kepada kesihatan.
Bagaimanapun bahan ini telah dikeluarkan daripada vaksin yang digunakan oleh bayi dan kanak-kanak semenjak tahun 2001. Namun jumlah kes autism masih lagi meningkat.

2. Kaitan dengan autism
Kontroversi MMR vaksin dan autism bermula pada tahun 1998 hasil kajian Dr Andrew Wakefield, seorang pakar bedah British disiarkan dalam jurnal perubatan The Lancet. Namun kajian tersebut tidak benar dan The lancet telah menarik balik balik artikel tersebut. Dr Andrew Wakefield telah ditarik lesen perubatannya kerana telah memutarbelitkan fakta.
Akibat daripada kontroversi ini, ramai yang memilih untuk tidak memvaksin anak-anak mereka. Masalah campak telah meningkat secara mendadak di UK. Ramai bayi yang mengalami komplikasi campak seperti jangkitan otak yang akhirnya menemui ajal.

Fatwa Berkaitan Dengan Vaksin Dari e-fatwa.gov.my

Imunisasi adalah satu-satunya cara pencegahan yang dapat dilakukan bagi mengelakkan penyakit seperti campak, tibi, batuk kokol, dipteria, tetanus atau polio. Mengikut kaedah fiqhiah iaitu  درء المفاسد مقدم على جلب المصالح menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”, maka program imunisasi bagi mengelak bahaya penyakit-penyakit yang berkenaan adalah sampai kepada peringkat hajat. Maka program tersebut adalah harus, kerana sesuatu kerosakan akan cepat berkembang dan bahayanya adalah lebih besar. Oleh hal yang demikian penggunaan vaksin dalam imunisasi itu adalah harus dari segi syarak.
Keharusan ini juga adalah berdasarkan Firman Allah s.w.t. dalam surah Al- Baqarah, ayat 195 :
ولاتلقوابأيدكم الى التهلكة
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakan diri kamu kedalam bahaya kebinasaan”.
Demikianlah sedikit kupasan daripada saya. Saya syorkan anda membaca artikel-artikel dari 2 blog doktor  ini:
1. http://www.doktorbudak.com/?s=vaksin
2. http://drzubaidi.com/blog/?s=vaksin
Mereka telah menerangkan dengan lebih mendalam mengenai topik ini. Yang pasti, rujuklah pada yang pakar sebelum membuat keputusan. Belajar tanpa guru ada banyak bahayanya.

Jadual Imunisasi Terbaru 2016

jadual-imunisasi-2016
Rujukan:
http://www.doktorbudak.com/2013/09/15/adakah-vaksin-mmr-selamat/
http://drzubaidi.com/blog/vaksin-untuk-bayi-kita-adakah-selamat/
http://drzubaidi.com/blog/vaksin-disahkan-selamat-dan-berkesan/
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/pandangan-islam-terhadap-imunisasi-campak-tibi-batuk-kokol-dipteria-tetanus-dan-pol
http://www.fda.gov/BiologicsBloodVaccines/SafetyAvailability/VaccineSafety/ucm187810.htm
http://www.fda.gov/BiologicsBloodVaccines/SafetyAvailability/VaccineSafety/ucm096228.htm

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here