Panduan dan bantuan ibu bapa kepada bayi sumbing (cleft palate / lip)

0
6
views

Tujuan menulis tajuk kali ini adalah untuk panduan kepada ibu bapa yang melahirkan anak yang sumbing atau cleft. Ini berdasarkan pengalaman penulis sendiri dalam tajuk ini.

Wakil dari CLAPAM pernah memberitahu saya ada di antara ibu bapa yang menghubunginya menangis-nangis mengenangkan anak yang sumbing dan tidak kurang juga menyalah diri sendiri kerana menjadi penyebab mendapat anak yang sumbing.

Apakah sumbing bibir dan lelangit?

Sumbing bibir adalah rekahan pada bibir manakala sumbing lelangit pula adalah rekahan pada lelangit. Ada kes dimana bayi hanya sumbing bibir dan bukan lelangit dan ada yang sebaliknya.

Sumbing bibir terbahagi kepada 2 iaitu unilateral dan bilateral. Untuk lebih pemahaman boleh rujuk kepada gambar di bawah:

cleft-palate-lip

rujukan: http://kidshealth.org/parent/medical/ears/cleft_lip_palate.html

Apakah yang menyebabkan sumbing?

Kalau ditanya pada doktor pakar, jawapan yang selalu di beri adalah – tidak diketahui dan ia adalah semula jadi. Tetapi, kebanyakan yang memperoleh anak sumbing mempunyai sejarah ahli keluarga yang mengalami keadaan yang sama.

Kebanyakan website perubatan ada mengatakan faktor luar iaitu pengambilan ubat yang tanpa rujukan doktor, racun dan jangkitan viral turut menjadi faktor kepada terjadinya keadaan ini.

Walaubagaimanapun ketahuilah 1 dalam 700 bayi di Malaysia dilahirkan sumbing.

Masalah

1. Penyusuan
Pihak hospital tempat anda melahirkan bayi anda selalunya akan mengajar anda menyusu badan dengan baik. Jangan tergesa-gesa dalam proses penyusuan sebaliknya bersabar. Pendekkan masa penyusuan tetapi kerap kerana bayi sumbing akan cepat letih pada mulanya. Yang paling penting bayi anda perlu menyusu badan menegak dengan kepala dan badan disokong untuk mengelakkan dari tersedak dan susu mengalir ke telinga. Bayi yang sumbing akan banyak menyedut udara ke dalam. Maka pastikan anda sendawakan bayi dengan betul.

Tetapi jika anda masih mempunyai masalah seperti bayi tidak dapat susu yang secukupnya, jangan risau. Ada puting dan botol yang sesuai untuk bayi sumbing. Seperti puting getah jenama NUK dan MAM. Botol yang sesuai pula adalah botol yang lembut untuk anda picit bagi membantu bayi menghisap. Seperti botol Softplas, MAM dan Haberman. Botol dan puting ini akan diberi secara percuma jika anda mendaftar dengan CLAPAM.

cleft-stuffs

2. Masalah telinga
Bayi sumbing selalunya mempunyai masalah jangkitan di telinga akibat pengumpulan air di telinga tengah. Ini memberi kesan ke atas pendengaran bayi anda. Pastikan anda berkunjung ke klinik pakar telinga, hidung dan kerongkong (ENT) untuk evaluasi penuh.

3. Masalah pertuturan
Apabila pendengaran terganggu bayi anda akan menghadapi masalah bertutur secara terang. Selain daripada itu, jika bayi anda mempunyai rekahan di lelangit bayi anda kemungkinan besar akan mengalami masalah bertutur secara sengau.

4. Pembentukan gigi
Pembentukan gigi juga akan terganggu jika sumbing melibatkan bahagian gusi. Masalah seperti pengumpulan kaviti, kekurangan gigi atau bentuk gigi tidak normal biasa terjadi.

5. Masalah psikologi
Sumbing jika tidak di rawat dari awal akan mengganggu keyakinan diri seseorang. Pada zaman sekarang, rawatan sumbing selalunya bermula sebelum bayi mencecah 1 tahun lagi. Ini bagi mengurangkan parut, mengelakkan masalah telinga menjadi lebih serius sehingga kehilangan keupayaan mendengar, memudahkan pembetulan pertuturan dan memudahkan pembetulan masalah pertumbuhan gigi.

Rawatan

Pakar yang terlibat dalam proses rawatan sumbing adalah seperti:

  1.  Pakar pembedahan plastik
  2. Pakar Pembedahan Otolaryngologi (ENT)
  3. Doktor Gigi (dentist)
  4. Orthodontist (Pakar Pembentukan Gigi)
  5. Audiologist (Pakar Pendengaran dan Pakar Terapi Pertuturan)
  6. kakitangan kesihatan.

Rawatan yang terlibat pula adalah:

1 – 3 bulan : Pembetulan bibir

9 – 12 bulan : Pembetulan lelangit

1 – 2 tahun : Penilaian pendengaran

3 – 4 tahun : Penilaian pertuturan

8 – 10 tahun : Ortondontik

9 – 12 tahun : ‘Alveolar Bone Grafting’ (ABG)

13 – 17 tahun : Rawatan susulan ortodontik

18 tahun dan atas : Pembedahan rahang (jika perlu)

Jadual rawatan boleh berubah bergantung kepada individu. Yang penting perlu mendapatkan khidmat nasihat doktor terlebih dahulu.

rujukan: http://bahasa.clapam.org.my/index.php/pik/penge

Dimana harus saya mulakan?

Pertama sekali yang harus anda lakukan adalah mendapatkan khidmat nasihat doktor yang menyambut bayi anda. Berikut adalah langkah-langkah yang telah saya susun untuk membantu ibu bapa :

  1. Sebaiknya anda harus terus mendapat seberapa banyak informasi untuk pemahaman anda sebaik sahaja mendapat tahu tenatang keadaan anak anda. Selalunya ketika kandungan berusia 4-5 bulan. Ini adalah sebagai persediaan mental dan juga dari segi kewangan.
  2. Dapatkan pandangan doktor yang menjaga kandungan anda tentang di mana harus anda dapatkan rawatan dan bagaimana untuk anda mengaturkan temu janji dengan pakar yang berkenaan.
  3. Sertai persatuan atau kelab yang berkaitan kerana ia membantu dari segi psikologi anda jika anda merasakan anda memerlukannya. Contohnya CLAPAM.

Bagaimana jika saya memerlukan bantuan kewangan?

Secara amnya, rawatan dari hospital kerajaan adalah dalam lingkungan RM200 – RM1000. Bergantung kepada tahap keadaan anak anda. Berbanding dengan hospital swasta yang rata-rata dalam lingkungan RM5000 ke atas. Juga bergantung kepada keadaan anak anda.

Jika anda mempunyai masalah kewangan untuk mendapatkan rawatan, McDonald Malaysia ada membuat dana untuk rawatan sumbing bagi ibu bapa yang memerlukan. Anda boleh menghubungi mereka melalui laman web berikut.

http://www.rmhc.org.my/giftofsmile.asp

Bagaimanapun keutamaan adalah diberikan kepada mereka yang pendapatan isi rumah di bawah RM3000. Tetapi anda boleh mencuba jika anda mempunyai faktor-faktor lain yang menghalang anda mendapatkan rawatan.

Kumpulan sokongan

CLAPAM (Cleft Lip and Palate Association of Malaysia)

Sebuah organisasi tanpa untung bukan kerajaan yang terdiri daripada ibu bapa yang mempunyai anak sumbing dan juga pakar-pakar perubatan yang berkaitan.

Website: http://bahasa.clapam.org.my/
No. 121 Lot 4 – 46A
4th floor Wisma Central Jalan Ampang
50450 Kuala Lumpur
Tel/fax: 03-21621445
E-mail : [email protected]

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here